Sebanyak 40,000 tiket dijual secara atas talian sejak Isnin lalu telah habis dijual sementara bakinya dijual secara fizikal hari ini di beberapa lokasi turut habis 'licin'.

Persatun Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, sebanyak 40,000 tiket dijual secara fizikal di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil, cawangan kedai barangan sukan, Al-Ikhsan dan Football Reublic sejak pukul 10 pagi tadi habis dijual.

"Untuk makluman semua, tiket perlawanan separuh akhir pertama Malaysia menentang Thailand, Sabtu ini yang dijual di kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 10 pagi tadi telah habis terjual sebentar tadi.

"Tiket yang dijual di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic sejak pagi tadi juga telah habis terjual. Ini bermakna, kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan termasuk 40,000 keping tiket yang dijual secara online pada Isnin dan Selasa lalu kini telah pun habis terjual," katanya menerusi Facebook rasminya di sini hari ini.

Malaysia muncul naib juara kumpulan A di belakang Vietnam selepas menundukkan Myanmar 3-0 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu.

Aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pula akan diadakan pada 5 Disember ini. - UTUSAN ONLINE