Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan SOP tertentu dan peraturan ketat sebelum banduan atau kakitangan penjara memasuki kawasan tersebut supaya tiada bahan terlarang terlepas kepada banduan.

Ujarnya, bagaimanapun pihaknya akan melihat semula SOP dan melakukan penambahbaikan sekiranya perlu.

"Perkara ini (penyeludupan dadah dalam penjara) adalah kes terpencil dan bukan isu serius. Hanya ada beberapa kes sahaja pernah berlaku dan pihak berkuasa telah berjaya menahan individu terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Di Klinik Cure and Care, Sungai Besi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mendedahkan pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang disyaki menyeludup masuk bahan terlarang itu untuk kegunaan tahanan di Penjara Simpang Renggam, Johor.-UTUSAN ONLINE