Duta Besar Tajikistan di Malaysia, Muhammadi Muzaffar Munavvarzod berkata susulan keadaan cuaca yang sama antara kedua-dua negara maka kerjasama dua hala dalam meneroka peluang dalam bidang pertanian boleh dipertingkatkan.

"Melalui MAHA 2016, kami lihat bagaimana Malaysia begitu membangun dan ingin pelajari bagaimana Tajikistan boleh bekerjasama dengan Malaysia di bidang pertanian untuk membangunkankan produk kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di D'Lereng di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Tajikistan juga berminat untuk mempelajari teknologi Malaysia dalam pembinaan rumah hijau agar petani di Tajikistan boleh melakukan perkara yang sama ketika musim sejuk, katanya.

Sambil memuji penganjuran MAHA 2016, yang diadakan di ruang yang besar dengan infrastruktur yang menarik, Muhammadi Muzaffar juga menunjukkan minat untuk bertukar benih buah-buahan dan program yang berguna kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin antara Tajikistan dan Malaysia dalam bidang pertanian dan seumpamanya, turut mencadangkan kepada Ahmad Shabery untuk membenihkan buah ketiga menggunakan benih buahan dari Tajikistan dan pisang kaki Malaysia.

"Teknologi yang dibangunkan di Malaysia ini agak unik, dan saya pernah makan buah (pisang kaki) yang lebih kurang sama warna dan tekstur di Tajikistan, dan saya akan bawa benih ini ke Tajikistan dan cuba membenihkan buah yang baharu.

Selain Tajikistan, Ahmad Shabery turut menerima kunjung hormat daripada delegasi Australia, Iran dan Bangladesh.- BERNAMA