Mohamad Nordin Tahir,62, sudah terlupa mengenai detik itu dan apatah tentang makna di sebalik pemberian sebahagian wang sakunya bersama dengan anggota masyarakat yang lain untuk membangunkan sebuah institusi pengajian tinggi dalam usaha memartabatkan pendidikan anak bangsa.

Setelah usaha menjejaknya berdasarkan laporan ringkas akhbar berhubung sumbangannya bersama rakan sekolah berhasil, beliau diraikan dalam majlis Sambutan 46 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu.

Malah kampung Seberang Takir dijadikan sebagai ‘kampung angkat’ institusi pengajian tinggi itu bagi mengenang jasa Mohamad Nordin yang memberi inspirasi dan menjadi salah satu simbol pengorbanan rakyat terhadap UKM yng kini berdiri megah.

Hari ini, UKM turut menunaikan janjinya untuk menghantar beliau dan isteri, Zaharah Ibrahim, 52, menunaikan ibadat haji, suatu hadiah yng tidak ternilai besarnya bagi bekas kakitangan Kilang Perwaja, Kemaman yang menetap di Kampung Air Lilih, Batu Enam, dekat sini.

“Apabila kita memberi sedikit sumbangan dan kita tidak pernah ingat pun akan sumbangan itu, nescaya pada satu masa walaupun berpuluh-puluh tahun, akan ada orang yang ingat dan  mencari kita dengan izin Allah S.W.T.

"Seperti bermimpi pun ada, amat bersyukur dan saya percaya pada konsep rezeki dan Allah telah murahkan rezeki saya hari ini,” ujarnya yang mengetahui perkhabaran gembira itu sebelum Ramadan lalu.

Beliau ditemui dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Penyerahan Pakej Haji kepada beliau dan isteri di Dewan Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 400 pelajar menerima bantuan awal persekolahan bagi meringankan sedikit sebanyak  bebanan ibu bapa menyediakan keperluan pembelajaran.

Penyampaian disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Mohamad Nordin bersama isterinya dijadualkan berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini pada 11 Ogos ini. -UTUSAN ONLINE