Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan berikutan syarikat tersebut merupakan syarikat baharu yang hanya ditubuhkan kurang daripada lima bulan.

Katanya, berdasarkan siasatan, syarikat yang diberi kebenaran untuk mengusahakan tanah di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta itu ditubuhkan pada 26 Julai lalu manakala kelulusan permit pula diberi pada 14 Disember tahun yang sama.

"Bagaimana sebuah syarikat yang beroperasi tidak kurang daripada lima bulan, tanpa sebarang 'track record'' dan hanya mempunyai dua pemegang saham boleh diberikan hak di atas tanah seluas 400 hektar di dua kawasan untuk projek ladang hutan?.

"Mengapa kelulusan permit ini diberikan kepada syarikat ini dan bukannya syarikat lain?. Malah, projek itu juga dikatakan diberi untuk tempoh 50 tahun dan kelulusannya perlu diperbaharui setiap tahun," katanya.

Beliau bekata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) di Pejabat SPRM Perak di sini hari ini. 

Memetik laporan akhbar Sabtu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan pihaknya akan menyemak terlebih dahulu surat kelulusan permit yang tular di media sosial itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Surat bertarikh 14 Disember 2018 itu memaklumkan kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/2018 pada 21 November lalu telah meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.-UTUSAN ONLINE