Mohd. Gauth Mohd. Yusoff
Mohd. Gauth Mohd. Yusoff 

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Mohd. Gauth Mohd. Yusoff berkata, perkara itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua pemimpin parti supaya jangan mempalsukan sijil kelulusan dan sanggup menipu rakyat atas kepentingan pribadi. 

Justeru, beliau menggesa Menteri Besar, Datuk Osman Sapian supaya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh Bangsa Johor selepas penipuannya berkaitan sijil kelulusan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) terbongkar minggu lalu.

Mohd. Gauth berkata, biarpun Osman ada menyebut ‘maaf’, tetapi permohonan maaf itu tidak menunjukkan yang beliau benar-benar ikhlas dan insaf atas perbuatannya.

Menurutnya, sebagai seorang Menteri Besar dalam sebuah negeri yang berdaulat penipuan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan tindakan Osman telah merosakkan nama baik jawatan tertinggi itu di Johor.

“Permohonan maaf perlu dizahirkan secara ikhlas dan penuh keinsafan. Osman mesti menjelaskan bagaimana perkara itu boleh terjadi dan dia mesti memberitahu rakyat apakah jenis kelayakan akademik sebenar yang beliau miliki.

“Sebaliknya kami (Perkasa) dapati Osman cuma meminta agar perkara berkenaan tidak diperbesarkan lagi oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.- UTUSAN ONLINE