Dalam kejadian, kira-kira pukul 9 pagi semalam, Mohd Asri maut maut tertusuk batang buluh di leher, di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, di sini semalam. 

Allahyarham membonceng motosikal yang ditunggang sepupunya Mohd Fitri Rosdi, 18, manakala seorang lagi sepupu mereka yang menunggang motosikal berasingan berada di belakang.

Sebaik tiba di tempat kemalangan motosikal yang dibonceng arwah dikatakan bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki  mengandar batang buluh di bahu yang menjadi penyebab kematiannya.

Menurut ibu arwah, Rohani Abdullah, 34, dia tidak akan memaafkan individu yang telah meragut nyawa anak sulungnya itu.

“Saya tidak akan maafkannya. Saya sempat melihat kelibat individu terbabit semalam ketika arwah dibawa pulang ke rumah, namun dia hanya berada di halaman rumah sahaja. 

"Kejadian ini amat menguris hati saya dan sukar bagi saya memaafkan dengan sekelip mata," katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Sri Machang dekat sini hari ini.

Rohani berkata, sudah menjadi rutin bagi arwah pada setiap hari Jumaat untuk menziarahi pusara rakan baiknya yang telah meninggal dunia hampir dua bulan lalu. 

"Pada hari kejadian, arwah seperti biasa pergi menziarahi pusara rakannya pada pukul 7 pagi. Selepas itu, dia berbincang dengan sepupu dan adiknya untuk bersiar-siar dia tempat perkelahan di Bukit Bakar. 

"Kebiasaanya arwah akan memaklumkan kepada saya seandainya hendak kemana-mana, namun hari itu dia hanya pergi tanpa memberitahu apa-apa kepada saya. 

"Kira-kira pukul 9 pagi semalam, salah seorang anak saya menangis teresak-esak di luar rumah menyampaikan berita pemergian arwah kepada suami, Ajeman Abdullah , 40," ujarnya. 

Tambah Rohani, ketika tiba di lokasi kejadian dia sempat memangku dan mencium arwah yang sudah tidak bernyawa dalam keadaan darah yang masih banyak di bahagian belakang kepalanya. - UTUSAN ONLINE