Setiausaha Agung Pesaka,  Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, setakat ini, hampir 2,000 daripada 10,168 buah sekolah sudah mempunyai persatuan silat masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya juga kini giat menyiapkan tenaga jurulatih dan mengemaskini sukatan pengajaran standard yang digunapakai.

"Kita sudah empat kali mengadakan mesyuarat bersama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran bagi penyelarasan.

"Setiap sekolah bebas memilih perguruan silat yang mereka mahukan tetapi kita akan gunakan sukatan yang sama.

"Silat melatih anak-anak mempunyai keperibadian serta berdisiplin dan ia bukan sahaja penting untuk selamatkan bangsa malah negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Selempang dan Sambutan Ke-46 Tahun Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat Malaysia (PSSTEM) di sini malam ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Pesaka negeri, Roslan Zakaria;Guru Utama PSSTEM, Mat Noor Mahamood dan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Tuan Aziz Tuan Man.

Pada majlis itu, Megat Zulkarnain telah menyampaikan anugerah tertinggi iaitu Selempang Merah Berjalur Hijau yang membawa gelaran 'Pendekar Lela Setia Perkasa' kepada enam penggiat PSSTEM iaitu Abdullah Mohamad; Harith Kamaruljamal; Azam Abas; Wan Zakaria Ibrahim; Kamaral Zaman Yaacob dan Tan Sri Yusof Yunus atas jasa dan sumbangan mereka. -UTUSAN ONLINE