Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penyerahan peruntukan tersebut adalah susulan pengumuman ketika pembentangan Bajet 2019 pada 2 November lalu.

"Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) komited memberi bantuan kepada semua jenis sekolah secara inklusif supaya kebajikan dan hal ehwal semua pelajar terus terpelihara.

"Kerajaan akan menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah tahfiz dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan daripada pengaruh parti politik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Yang Berdaftar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, peruntukan bajet yang diberikan ke sekolah-sekolah merangkumi semua jenis sekolah, bukan sahaja melibatkan sekolah Cina tetapi termasuk juga sekolah kebangsaan, sekolah pondok, tahfiz dan sekolah berasrama.

Sehubungan itu tegasnya, tafsiran mengatakan bahawa hanya sekolah tertentu yang mendapat peruntukan adalah tidak benar.

"Itu kita cuba jaga dan hari ini adalah manifestasi bahawa kerajaan menjaga semua sekolah. Hari ni kita beri RM50 juta dan sebelum ini RM25 juta menjadikannya RM75 juta. Esok pula kita beri untuk pihak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik," katanya. - UTUSAN ONLINE