Kedah kini mendahului carta dengan lapan mata, manakala skuad Tok Gajah di kedudukan kedua menerusi kelebihan jaringan walaupun berkongsi tujuh mata dengan Perak dan T-Team selepas empat perlawanan.

Skuad Lang Merah membuka jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit terakhir babak pertama, sebelum pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen menggandakan jaringan pada minit ke-66, diikuti jaringan Muhammad Farhan Roslan
lapan minit kemudian.

Liga Super

Pemain JDT Muhd Faly Mazlan diasak pertahanan Selangor pada perlawanan Liga Super 2017 menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus , Johor Bahru.-UTUSAN/Ishak Rahmad

Pahang berjaya mengurangkan defisit menerusi pemain import dari Brazil, Matheus Alves Leandro pada minit ke-89, namun Larsen sekali lagi menghukum kesilapan benteng pertahanan pasukan pelawat menerusi jaringan keduanya, seminit kemudian.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, jaringan lewat penyerang import dari Lebanon, Mohammed Mahmoud Ghaddar pada minit ke-89 membantu Kelantan mengatasi tuan rumah Felda United FC 2-1.

Skuad 'The Red Warrior' membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun penyerang import dari Liberia, Zah Rahan Krangar menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama, sebelum Mohammed Mahmoud mengesahkan tiga mata buat Kelantan.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula terpaksa berkongsi satu mata dengan Selangor apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pasukan T-Team pula mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas juara Liga Perdana 2016, Melaka United di Stadium Hang Jebat menerusi jaringan pemain import dari Mali, Mamadou Samassa pada minit keempat dan pemain import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev, 10 minit kemudian.

Pemain import dari Korea Selatan, Jeon Woo-young membantu skuad Hang Tuah mengurangkan defisit pada minit ke-47.

Sementara itu, jaringan tunggal pemain import dari Filipina, Mark Andrew Hartmann pada minit ke-71 membantu Sarawak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tuan rumah, Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan.

Liga Super

BEBERAPA penyokong Pulau Pinang menyalakan suar selepas mereka tidak berpuas hati pasukan mereka tewas kepada Sarawak 0 - 1 pada saingan Liga Super 2017 di Stadium Negeri Batu Kawan.-UTUSAN/Sazali Che Din

Terdahulu, pendatang baharu Liga Super, PKNS FC meneruskan rentak kemenangan dengan mencatat kemenangan kedua dalam empat aksi liga selepas menewaskan Perak 3-0 di Stadium Shah Alam.

Pemain import dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola muncul wira pasukan apabila membuka jaringan pada minit ke-45 dan menggandakan jaringan dua minit kemudian, sebelum penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali melebarkan kedudukan
menerusi jaringan pada minit ke-85. - BERNAMA