Penyokong kerajaan, Ahmad Said (BN - Kijal) ketika turut serta dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini berkata, langkah itu akan dapat mematikan tanggapan berterusan kononnya hanya akan menjadi suatu projek gajah putih.

Menurut beliau, Kenyir boleh menjadi pemacu pelancongan yang utama dengan mengambil kira keselesaan dan keperluan dalam menampung kehadiran mereka.

Katanya, dengan pembukaan 30 unit premium outlet Kenyir kelak, ia boleh menjadi saingan beberapa negara lain bagi memenuhi selera pelancong yang gemar membeli-belah apabila pelbagai barangan berjenama mampu dijual harga yang lebih setimpal apabila kadar sewaan juga rendah.

Beliau juga mencadangkan supaya kawasan tumpuan kelah di tasik itu dibuka seluas-luasnya kepada pengunjung, bukannya terhad setakat 80 orang sehari, serta penyediaan kemudahan kemudahan makan minum di kawasan sekitar serta penempatan petugas yang lebih ramai.

Di samping itu katanya, kemudahan taman tema air di Pulau Poh juga perlu dipertingkatkan agar menjadi tumpuan keluarga termasuk bagi kalangan orang dewasa.

Dalam Bajet 2018 yang dibentangkan kelmarin kerajaan negeri  meneruskan usaha membangunkan Kenyir dengan peruntukan sebanyak RM54.5 juta  bagi pembangunan projek-projek sedia ada dan baharu.- UTUSAN ONLINE