Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun atlet terbabit perlu tampil di pusat sehenti yang akan ditubuhkan pihaknya atau pada hari terbuka kementerian setiap Khamis.

“Kalau kita lihat kes-kes yang berlaku ada banyak. Ada yang datang berjumpa sebab saya ada buat Hari Terbuka setiap Khamis. Ada juga yang datang atlet berumur 40-an yang sudah lama tinggalkan sistem (sukan yang mereka ceburi) tetapi tiada tempat yang mereka hendak pergi.

“Sebab itu kementerian mengambil keputusan menubuhkan pusat sehenti atlet paling awal pada suku kedua atau ketiga tahun ini. Pada masa yang sama, bantuan dari segi kesihatan yang akan dibentangkan dalam Kabinet dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis undian memilih peserta Kuala Lumpur (KL) Maraton yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered Malaysia selaku penaja utama di sini semalam.

Sehubungan itu katanya, semua perancangan ini penting untuk dilaksanakan agar kebajikan atlet terbabit terbela dan merangkumi dalam semua segi bukannya berdasarkan dari satu kes ke kes berikutnya.

“Cuma bagi atlet yang sudah lama dan berusia tetapi telah banyak menyumbang kepada sukan negara, kita ada tanggungjawab moral untuk bantu. Sebab itu kita bekerjasama dengan semua pihak untuk pastikan mereka ini dapat dibantu,” tambahnya.

Selain pihak yang dimaksudkan seperti Yayasan Kebajikan Atlet (YAKEB), beliau juga telah memaklumkan kepada MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) agar keutamaan diberikan kepada bekas atlet atau atlet Podium digugurkan untuk diambil bekerja.

“Selain itu kita juga akan bekerjasama dengan kontraktor-kontraktor di bawah MSN dan ISN untuk menyediakan peluang pekerjaan di samping menyokong pihak institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menggunakan khidmat bekas atlet lama dan baharu untuk ditawarkan biasiswa mengikut pengajian atau melatih atlet muda di universiti masing-masing,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE