Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RPO pertama akan dibuka di RTC Gopeng, Perak dalam masa terdekat.

 "Kalau kita harapkan hypermarket (pasar raya besar) atau supermarket (pasar raya), kita tahu agak sukar untuk mereka terima produk usahawan desa.

 "Selain kedai-kedai agensi lain (di bawah kementerian), kita akan wujudkan RPO ini dengan peringkat awal fokus pada RTC sebelum dikembangkan ke tempat lain," katanya pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, hari ini.

 Beliau berkata demikian selepas melancarkan Desa Mall KKLW @ Bazaar Industri Asas Tani (IAT) MAHA 2016, yang menempatkan ruang pameran 73 usahawan luar bandar.

 Daripada jumlah itu, Ismail Sabri berkata 53 orang usahawan adalah daripada kluster produk makanan dan minuman, 16 orang daripada kluster kesihatan, kecantikan dan perkhidmatan dan empat lagi daripada kluster produk kraf.

 Sejak MAHA 2016 berlangsung dari 1 Dis hingga semalam, kesemua usahawan itu berjaya mencatat jualan lebih RM196,000 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM350,000 sehingga pameran berakhir pada 11 Dis ini, katanya.

 Beberapa aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung Desa Mall KKLW antaranya demonstrasi manicure dan pedicure serta demonstrasi membaiki telefon dan memasak. -- BERNAMA