Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN Mastura Mohd. Khalid berkata PTPTN sebaliknya ingin mengubah minda rakyat Malaysia iaitu menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Persediaan dengan menyimpan dan penabungan awal adalah amat penting untuk keperluan masa hadapan berbanding meminjam.

“PTPTN mahu diingati orang ramai bukan kerana pinjaman dan tidak mahu anak muda terbeban dengan hutang (pendidikan) pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan AirAsia kepada PTPTN di ibu pejabat AirAsia di sini hari ini.

Beliau berkata hingga 31 Oktober tahun ini sebanyak 3.1 juta akaun PTPTN dibuka dengan jumlah simpanan RM2.97 bilion dan ia masih rendah berbanding populasi penduduk Malaysia iaitu lebih daripada 31 juta.

Majlis hari ini menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Berhad Aireen Omar menyerahkan sumbangan RM121,750 kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) menerusi Mastura sambil disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Sumbangan yang bertujuan membantu pelajar kurang bernasib baik itu dimanfaatkan menerusi pembukaan akaun SSPN-i dengan deposit RM50 untuk 2,435 murid tahun satu dari sekolah bantuan penuh kerajaan di sekitar Kuala Lumpur.

Pada masa sama kesemua murid tersebut turut akan menerima insentif geran sepadan RM50 lagi dari PTPTN.

Aireen dalam ucapannya berkata Airasia berasa bangga dapat bekerjasama dengan PTPTN dan akan membantu sedaya yang boleh untuk memberi masa depan yang baik kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Mary Yap memuji komitmen AirAsia dalam membantu pelajar tidak bernasib baik. - BERNAMA