Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, program ‘Sentuhan Kasih’ dengan peruntukan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi itu telah mendapat kerjasama pelbagai pihak khususnya UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, lebih 200 sukarelawan bergotong-royong membaiki rumah sejak semalam terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMK;Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Bharu dan GiatMARA Pengkalan Chepa serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita berterima kasih kepada UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang sebenarnya memulakan langkah datang kepada kita bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Kerjasama antara pelbagai agensi dalam usaha ini bukan boleh dinilai dengan wang ringgit kerana mereka yang terlibat telah meluangkan masa, tenaga dan kepakaran.

“Ini program julung kali kita selaraskan di bawah UCTC UMK sebagaimana saranan Kementerian Pendidikan yang mahu setiap universiti mewujudkan UCTC masing-masing. Sebelum ini, UMK juga telah banyak turun bersama komuniti termasuk di Pasir Puteh, Jeli dan Bachok,” katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih UCTC UMK di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman; Timbalan Pengarah (Teknikal) JPP negeri, Ir Zailan Abd Rahman; Pengerusi Puspanita Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Nik Khzami Nik Mohamed dan Pengarah UCTC UMK, Prof. Madya Dr. Mohad Anizu Mohd Nor. - UTUSAN ONLINE