Pengurus Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Datuk Dr. Aziz Ujang, tindakan tegas perlu diambil agar ia tidak berulang.  

"Macam pesta gay banyak-banyak tempat dalam negara kenapa pilih Kuala Lumpur? Bagi saya dia nak uji undang-undang dan perlembagaan negara. Bukan tujuan untuk berpesta sahaja.

"Begitu juga dengan minum arak. Kenapa pilih di Malaysia kenapa tak pilih negara lain? Ini semua nak uji kedaulatan undang-undang negara kita, kedaulatan raja-raja kita dan ketahanan diri kita bagaimana kita mentadbir," kata Dr. Aziz dalam segmen Apa Isu: Ketuanan Melayu: Hakis Perpaduan Kaum di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad hari ini.

Forum yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online itu dikendalikan oleh Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Universiti Utara Malaysia. Turut menjadi ahli panel adalah pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.

"Bagi saya kena ambil tindakan serius mengkaji semula dan menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak berlaku berterusan.

"Kita tidak boleh terlalu berlembut. Kalau kita berlembut negara kita kucar-kacir. Itu yang kita bimbang," kata Dr. Aziz.

Penganjuran 'Better Beer Festival 2017' yang dijangka diadakan pada 6 hingga 7 Oktober di ibu negara dan disokong oleh parti DAP itu tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu pesta gay turut dirancang diadakan pada 30 September 2017 juga di Kuala Lumpur. Poster pesta itu dipromosi di media sosial.-UTUSAN ONLINE