Dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan penuh pasukan tuan rumah, Perak mendahului 2-0 di babak pertama.

Mohd. Nor Hakim Hassan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-16 apabila merembat deras dari dalam kawasan penalti yang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohin.

Perak menggandakan kedudukan 2-0 menerusi jaringan cantik Wander Luiz pada minit ke-42 selepas bertukar hantaran dari kawasan tengah dengan Mohd. Nor Hakim.

Selepas rehat, Sabah cuba meningkatkan asakan dengan beberapa percubaan dan sepakan bebas Hector Ramos hampir menggegar gawang Perak pada minit ke-64 namun berjaya ditepis penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Hasrat Sabah untuk bangkit disekat dengan gol ketiga Perak pada minit ke-73 menerusi Gilmar yang bijak memusing badan mengatasi pemain lawan untuk melakukan rembatan yang menewaskan Rozaimie.

Muhammad Firdaus Saiyadi turut mencatat nama sebagai penjaring gol keempat apabila menanduk hantaran lintang Mohd. Nor Hakim pada minit ke-75.

Leandro melengkapkan pesta gol Perak pada minit ke-90 apabila menyempurnakan sepakan penalti setelah Nazirul Naim Che Hashim dijatuhkan pemain lawan untuk gol kelima pasukan tuan rumah.

Perak akan bertandang di Likas untuk aksi separuh akhir kedua pada 21 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE