Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad yakin peningkatan undi calon Pas dari 4,563 undi pada PRU-14 kepada 9,698 undi yang diraih oleh Dr. Halimah 
merupakan satu terjemahan kemahuan ahli dan penyokong kedua-dua parti Melayu terbesar itu untuk menjalin permuafakatan dan persefahaman ke arah memperjuangkan nasib orang Islam dan Melayu ke tahap piawaian yang lebih tinggi.

"Peningkatan undi yang diperoleh calon Pas itu sekaligus memberi petunjuk yang berharga bahawa PAS dan UMNO boleh menjalin lebih banyak kerjasama bukan sahaja di peringkat kepemimpinan parti tetapi selepas ini lebih teliti dan mendalam lagi dalam kalangan ahli-ahli akar umbi kedua-dua parti.

"Keputusan PRK Seri Setia akan menjadi titik tolak penting dalam menunjukkan keikhlasan peringkat kepemimpinan PAS untuk duduk bersama lagi  selepas ini dengan UMNO dalam mencari titik persamaan sepenuhnya terutama apabila mengundang kepemimpinan UMNO dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-64 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu depan," kata Noraini dalam satu kenyataan.

Noraini mendakwa PRK Seri Setia dan PRK Sungai Kandis sebelum ini menjadi suatu referendum rakyat bahawa mereka tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku terutama membabitkan isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam.-UTUSAN ONLINE