Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pada hari ketiga semalam, sebanyak 700,000 ribu pengunjung telah mengunjungi MAHA 2016 dan pada hari ini menghampiri 1.5 juta orang.

“Bukan disebabkan kerana hari ini hari minggu tetapi saya percaya akibat promosi yang dilakukan oleh mereka yang telah mengunjungi MAHA pada hari pertama sehingga hari ketiga semalam.

“Jadi apabila mereka pulang dan bercerita kepada orang lain menyebabkan ramai yang teruja untuk ke MAHA,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang Pertandingan Orkid Sempena MAHA 2016, di Dewan A, MAEPS, Serdang dekat sini.

MAHA2016

Tajuddin berkata, MAHA berjaya mendapat status bertaraf dunia apabila ramai di kalangan para pelawat asing memberikan tindak balas yang positif terhadap penganjuran MAHA kali ini.

“Ramai yang menghubungi saya dan memberitahu mereka sangat berbangga dan berpuas hati terhadap MAHA kali ini walaupun saya sendiri baru kesempatan ke MAHA selepas berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Beliau juga meminta para pengunjung supaya bersabar atas kesesakan luar biasa di MAHA ini.

“Kami akan tingkatkan kekerapan perkhidmatan tram dan traktor.

“Tapi datanglah dan jalan perlahan-lahan untuk menikmati semua yang menarik di MAHA ini. tidak perlu tergesa-gesa. Kita ada banyak hari lagi dan boleh datang lagi,” katanya.-UTUSAN ONLINE