Mangsa, David Lenton, 71, mulanya dilaporkan hilang di perairan Miri selepas memilih untuk menunggu di dalam kapalnya yang mengalami kerosakan enjin dan gagal ditunda oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 5.55 petang semalam.

Jurucakap Maritim Malaysia berkata,  mangsa yang memulakan pelayaran dari Marina Bay di sini, petang semalam, telah menghubungi Maritim Malaysia Daerah Miri untuk meminta bantuan apabila kapalnya mengalami kerosakan enjin tidak lama selepas belayar.

"Maritim Malaysia berjaya menemukan Lenton bersama kapalnya tetapi pelayar terbabit memilih untuk kekal berada dalam kapalnya apabila ia tidak dapat ditunda kerana gelombang besar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mulanya dikhuatiri hilang dalam cuaca buruk pada awal pagi ini, kemudian dimaklumkan sudah dijumpai dalam keadaan selamat oleh penduduk di Pulau Melayu.

Katanya, kapal milik mangsa turut ditemukan terdampar di kawasan daratan pulau yang sama