Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya bangga atas pelantikan Fahariyah yang berkuat kuasa hari ini kerana ia merupakan kali pertama ahli pergerakan itu diangkat sebagai Senator.

Beliau yakin Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang politik itu, mampu melonjakkan lagi wanita muda ke tahap yang lebih tinggi dalam meneruskan perjuangan pergerakan parti tersebut.

"Saya berharap dengan rekod kepimpinan yang cemerlang, beliau (Fahariyah) akan terus bekerja keras dengan tanggungjawab yang diberikan, selaras dengan kepercayaan yang diamanahkan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Fahariyah sebelum ini pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Setiausaha Kerja Puteri UMNO yang pertama pada 2002, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Setiausaha Sulit Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau yang dilahirkan di Johor Bahru, Johor itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya. - BERNAMA