PEKIN IBRAHIM
PEKIN IBRAHIM

Berkata kepada UTUSAN ONLINE, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu menjelaskan, dia tidak mahu bersanding di atas pelamin seperti kebanyakan mempelai kerana tidak berasa selesa menjadi subjek tumpuan.

"Sebab itulah rasanya lebih baik saya merahsiakan tarikh pernikahan supaya tidak rasa terbeban apabila perlu mengajak tetamu lain selain ahli keluarga terdekat.

"Jika dengan keluarga saja, saya rancang nak buat makan-makan secara santai. Cukup setakat itu saja tanpa sebarang majlis formal. Itulah cara hidup saya yang kurang gemarkan suasana ramai orang," katanya.

Penerbit filem KL Wangan itu berkata demikian sejurus berlangsungnya majlis sidang akhbar Busking Aid On Train yang diadakan di KL Sentral, di sini hari ini.

Terdahulu, Pekin sebelum ini mengakui sedang menjalin hubungan jarak jauh dengan seorang peragawati yang mahu dikenali sebagai Iman sejak dua tahun lalu dan tekad untuk menamatkan zaman bujangnya.

Sementara itu, mengulas penglibatannya dalam penganjuran Busking Aid On Train, ia merupakan tugasan terakhir yang perlu disempurnakannya selaku penuntut jurusan Sarjana Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Projek amal ini adalah kelolaan kami sebagai penuntut luar kampus tahun kedua serta kolaborasi antara UUM, KTM Komuter dan Time Reveal yang bersetuju bekerjasama atas tiket tanggungjawab sosial korporat.

"Setiap artis yang terlibat akan menghiburkan para penumpang komuter secara santai sambil memungut derma untuk disalurkan ke rumah-rumah kebajikan terpilih," ujarnya.

Tambah Pekin, acara itu bakal diadakan pada 21 Januari ini dan melibatkan kira-kira 14 selebriti tempatan seperti Fattah Amin, Tomok Indrawan, Aril Pilus, Zahid Baharudin dan Haziq Rosebi yang juga penuntut di UUM.