Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd. Halim Abd. Latiff berkata, melalui akta berkenaan, beberapa syarat dan proses perlu dipatuhi oleh PBT sekiranya mahu melupuskan haiwan liar yang menganggu penduduk di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang itu telah menyebabkan PBT menghadapi kekangan untuk bertindak menggunakan kaedah biasa dalam menangani aduan penduduk mengenai haiwan liar terutamanya anjing.

“Akta ini memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 dan penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

“Oleh kerana itu, kita sedang mencari kaedah lain untuk menangani masalah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Townhall dan Taklimat Pengasingan Sampah di Dewan Serbaguna Taman Desa Cempaka di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedar mengenai masalah anjing liar dalam kawasan MPN dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang menimbulkan kebimbangan penduduk.

“Sebenarnya kita telah menerima 3,000 aduan mengenai anjing liar di Nilai dan Seremban yang meningkat lebih dua kali ganda hampir setiap tahun,” katanya.

Abd. Halim memberitahu, satu jawatankuasa khusus berkaitan isu anjing liar telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.

Jelasnya, jawatankuasa itu bukan saja menangani masalah anjing liar tetapi haiwan liar lain seperti monyet dan babi hutan.

“Jawatankuasa ini akan menyelaraskan tindakan sesuai ke atas haiwan liar ini yang tidak melanggar akta tersebut. Kaedah tersebut masih dalam peringkat perbincangan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE