Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya bagaimanapun perlu mendapatkan pandangan dengan mengumpul maklumat melalui siri perbincangan yang akan diadakan mulai tahun depan.

Katanya, kajian mengenai perkara itu akan melibatkan semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pihak berkaitan lain.

"Proses mengumpul maklumat itu dijangka mengambil masa selama enam bulan melalui peranan yang akan dimainkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di setiap negeri.

"Kita memang bercadang memansuhkan UPSR dan menggantikan dengan PBS bagi mengurangkan tekanan ke atas murid selain berupaya menilai pencapaian mereka dengan lebih menyeluruh," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah Parlimen Parit Sulong, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan. - UTUSAN ONLINE