Katanya, antara syarat yang dilihat 'tidak masuk akal' bagi warga emas sepertinya adalah perlu menyediakan sijil nikah atau sekurang-kurangnya surat beranak anak.

Selain itu katanya, antara syarat lain yang merumitkan apabila isterinya yang tidak pernah mempunyai akaun bank selama ini perlu membuka akaun baharu bagi melayakkan mereka menerima bantuan tersebut.

"Mana saya hendak cari sijil nikah yang berpuluh-puluh tahun lamanya. Difahamkan kalau tidak ada sijil nikah perlu disertakan surat beranak anak. Anak saya kini sudah berusia 40 tahun, entah ada lagi atau pun tidak, terpaksa kena cari semula.

"Satu lagi kena buka akaun bank isteri. Hendak buka akaun bank bagi orang kampung seperti kami susah, terpaksalah minta tolong orang yang tahu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dahulu tidaklah sesukar sekarang meskipun jumlahnya lebih banyak.

"Dulu, proses borang apa semua selesai di peringkat kampung sahaja, tidak perlu ke hulu ke hilir, sijil ini, sijil itu. Sekarang hendak dapat RM1,000 punyalah siksa," katanya.

FAUZI MUSTAPA

FAUZI MUSTAPA

Pesawah, Fauzi Mustapa, 35, pula berkata, syarat yang dikenakan untuk pemohon BSH lebih rumit berbanding dulu.

"Saya harap kerajaan dapat mempermudahkan proses permohonan ini kerana kebanyakan penerima adalah penduduk kampung. Janganlaj sukarkan mereka dengan pelbagai syarat dikenakan.

"Pada peringkat awal dahulu, saya lihat pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kangar penuh dengan orang termasuk warga emas yang pergi untuk berurusan berkaitan permohonan atau kemas kini BSH ini," katanya.

Permohonan bagi mendapatkan BSH telah dibuka kepada orang ramai mulai 1 Februari lalu sehingga 15 Mac ini.- UTUSAN ONLINE