Program anjuran Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) itu adalah sebahagian daripada ini­siatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut dalam mendekati komuniti setempat dan mengajak orang ramai mencintai alam sekitar.

Pengurus Program, Mohd Zabidi Abdullah, berkata, program tersebut diadakan bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar sekali gus mendidik golongan muda mengenai kepen­tingan pemuliharaan eksosistem untuk kesejahteraan kehidupan pada masa akan datang.

“Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri ini melibatkan aktiviti penyemaian dua spesies pokok iaitu anak pokok damar hitam dan biji benih kulim.

“Program ini juga julung kali diadakan oleh kami dan kita akan jadikannya sebagai program tahunan bagi menunjukkan tanda kecintaan terhadap alam sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhutanan (Bahagian Pembangunan) negeri, Hamidi Abdul Halim berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi yang berminat menganjurkan program seumpama itu.

“Kami amat mengalu alukan kedatangan mana-mana pihak yang ingin mendekati alam sekitar dan kami akan membimbing mereka untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang penjagaan tanaman hijau ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE