Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program seperti itu yang sejajar dengan agenda kebangsaan adalah forum terbaik bagi NGO menyumbang kepada apa yang dihasratkan kerajaan untuk rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan usaha yayasan berkenaan melaksanakan Kempen Bersatu Menentang Jenayah, Keganasan dan Dadah hari ini bagi membantu membantu kerajaan mewujudkan komuniti yang sihat dan selamat. 

"Saya percaya pelancaran kempen ini adalah langkah pertama untuk bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri memerangi ancaman terhadap keselamatan negara terutamanya yang berkaitan pencegahan jenayah, keganasan dan dadah," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran kempen tersebut, di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Exco Projek Khas MCPF, Datuk Seri Johnny Ch'ng Ewe Gee.

Ahmad Zahid mengajak semua pihak mengambil bahagian menentang jenayah, keganasan dan daripada terus berleluasa dan memusnahkan negara.

"Mari bersama-sama dengan kerajaan menghapuskan elemen negatif yang boleh menghancurkan negara kita yang tercinta.

"Hasrat saya dan kementerian tidak lain daripada membina negara yang bebas daripada ancaman bagi membolehkan kita semua hidup dalam aman dan harmoni," katanya. - UTUSAN ONLINE