Menurut Ketua Wilayah Sarawak, Alex Bong, pelanggan di bandar dan pekan seperti di Siburan, Bau, Lundu, Sematan, Bintangor, Kanowit, Julau, Samalaju, Tatau Limbang, Lawas, Mukah, Kapit, Saratok, Betong dan Sarikei kini menikmati kelajuan terpantas 4G pada telefon bimbit mereka.

Katanya, penduduk Sarawak dapat menikmati pengalaman data terbaik dengan rangkaian Maxis 4G evolusi jangka panjang (LTE) yang mencapai 89 peratus populasi di sini.

"Penggunaan data pelanggan juga terus berkembang yang mana pelanggan di Malaysia Timur secara purata menggunakan 12 gigabait (GB) sebulan.

"Ia lebih tinggi daripada penggunaan data purata pelanggan Maxis keseluruhan iaitu 7.5 GB sebulan," katanya dalam majlis Makan Tengah Hari Media di sini hari ini.

Tambahnya, Maxis juga telah membuka 10 kedai hibrid baharu di sini bagi memberikan perkhidmatan lebih baik meliputi Kuching, Sibu, Kota Samarahan, Lundu, Lawas, Limbang dan Mukah pada tahun ini.

Dalam pada itu, mengenai produk, Alex berkata, Maxis juga baru-baru ini menaik taraf semua pelanggan pelan MaxisONE dengan data 10GB untuk dikongsi dan boleh digunakan setiap hari.

"MaxisONE Home Fibre yang dilancarkan awal tahun di Malaysia Timur juga menawarkan internet rumah terlaju hingga 100 Mbps, data tanpa had, panggilan suara dan penyediaan profesional WiFi.

"Bagi pengguna prabayar, Hotlink FAST menawarkan pelanggan dengan 8GB internet 4G percuma setiap minggu, 1,000 minit panggilan percuma kepada Friendz dan 30GB Hotlink Happy Hour," ujarnya.

Beliau berkata, pelanggan Hotlink juga kini menerima 999GB capaian Facebook setiap hari. - UTUSAN ONLINE