Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, mengikut jadual, pembinaan hospital yang menelan belanja RM104 juta itu sepatutnya telah siap pada September tahun lalu.

Katanya, kerja-kerja pembinaan hospital tersebut kini mencapai kemajuan sebanyak 82 peratus dan dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Kerja-kerja pembinaan itu mengalami kelewatan untuk siap disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan antaranya isu berkaitan reka bentuk pembinaan.

“Bagaimanapun, kerajaan yakin bahawa projek ini boleh disiapkan sebelum Jun tahun depan dan dijangka dapat digunakan tiga bulan selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Hospital Rembau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Subramaniam memberitahu, projek hospital di kawasan seluas 19.4 hektar itu bakal memberi keselesaan kepada penduduk di sini dan daerah berhampiran yang ingin mendapatkan perkhidmatan perubatan.

Tambahnya, Hospital Rembau yang memiliki 76 katil akan menjadi sebahagian daripada kluster yang menyediakan perkhidmatan kepakaran tertentu dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

“Selepas ini, pesakit dari daerah berhampiran seperti Port Dickson dan Tampin yang memerlukan khidmat pakar tidak perlu lagi ke HTJ, sebaliknya mereka boleh mendapatkan rawatan pakar di Hospital Rembau,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE