Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pameran yang berlangsung sejak 1 Disember lalu itu mencapai jualan dan perjanjian jualan melebihi RM350 juta.

"Jumlah ini melepasi sasaran penganjur iaitu sebanyak RM200 juta. Pada tahun 2014, MAHA mencapai RM152 juta jualan dan perjanjian jualan,"  kata Ahmad Shabery dalam sidang akhbar sebentar tadi.

Turut mencatatkan sejarah adalah jumlah pengunjung yang mencecah 3.7 juta orang sehingga petang tadi melebihi sasaran awal seramai tiga juta orang.

"MAHA juga telah mencipta satu trend baru yang berbeza berbanding dengan MAHA sebelum ini yang sentiasa dianggap acara untuk warga pertanian dan berkaitan dengan generasi tua.

"MAHA 2016 telah mengubah landskap pertanian dan membuktikan ia boleh menjadi trending dan lebih menyeronokkan dengan adanya agrotainment yang telah memikat pengunjung bukan tradisi MAHA," kata Ahmad Shabery.

MAHA 2016 akan berakhir pukul 10 malam ini dan akan kembali semula pada tahun 2018.-UTUSAN ONLINE