Beliau berkata sekatan di bawah Kaedah-kaedah Pemasaran Ikan 2010 itu bertujuan menampung kekurangan bekalan ikan di pasaran semasa musim tengkujuh.

Spesies ikan dalam bentuk segar yang dilarang dieksport ke luar negara ialah ikan kembung, selar, selayang, pelaling, bawal putih dan udang putih, katanya.

"Jenis-jenis ikan ini merupakan pilihan utama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyertai sesi 'shell out' santai bersama petugas media sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) di sini hari ini.

MAHA 2016 bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang berlangsung sejak 1 Dis di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) akan berakhir esok.

Irmohizam berkata sebanyak tiga persatuan nelayan iaitu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (PNK Besut) diberi tanggungjawab untuk menjadi pusat simpanan ikan sejuk beku.

"Nekmat akan menampung bekalan ikan bagi kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, Nekad pula kawasan utara manakala PNK Besut bagi kawasan pantai timur.

"Setakat ini, stok simpanan ikan sejuk beku adalah sebanyak 145 tan metrik, dengan pecahan Nekmat 125 tan metrik tan, Nekad dan PNK Besut masing-masing sebanyak 10 tan metrik," katanya.

Beliau berkata masyarakat tidak perlu panik kerana LKIM sentiasa berusaha untuk memastikan stok bekalan ikan segar tidak terputus terutamanya di pasar-pasar tani. - BERNAMA