Daripada jumlah tersebut, tiga adalah bayi lelaki manakala selebihnya perempuan yang semuanya dilahirkan antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 8 pagi ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin memberitahu, kesemua bayi kelahiran biasa itu adalah berketurunan Melayu.

“Bayi pertama seberat 2.82 kilogram dilahirkan pukul 12.09 tengah malam dan yang kelima pula pukul 8.11 pagi. Kesemua ibu yang melahirkan anak tersebut berada dalam keadaan sihat termasuk bayi mereka.

“Kita juga menerima kunjungan wakil Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi menyampaikan insentIf khas tersebut (ADAM50),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

ADAM50 adalah insentif baharu yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 dan mula dilaksanakan pada hari ini yang akan memanfaatkan kira-kira 2.8 juta bayi di negara ini.

Kos keseluruhan ADAM50 yang akan dilaksanakan selama lima tahun bermula 2018 sehingga 2022 itu dianggarkan mencecah RM560 juta.

Melalui ADAM50, kesemua bayi warga negara ini yang lahir bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit yang akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga ke dalam tabung unit amanah kendalian anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Sementara itu, Mohd. Ridzuan Zulkifli, 28, bersyukur selepas isterinya selamat melahirkan anak kedua mereka pukul 3.20 pagi ini.

Dalam masa sama, dia juga mengucapkan terima kasih atas Insentif Khas ADAM50 yang diberikan kepada anaknya dan bayi-bayi lain. - UTUSAN ONLINE