"Kalau dalam industri makanan sejuk beku, kita lihat hampir semua orang muda dan sebahagian besarnya wanita yang mengendalikan proses penyediaan dan pembungkusan," katanya pada pemberita di Laman Perikanan MAHA 2016 hari ini.

MAHA 2016, yang merupakan ekspo pertanian terbesar Malaysia, dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita', berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) sejak 1 Dis sehinga 11 Dis ini.

Sementara itu, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata MAHA merupakan platform terbaik dalam membantu usahawan muda dan wanita dalam mengembangkan perniagaan mereka dalam industri tani.

"Sebelum ini penglibatan wanita dalam pertanian sangat sedikit tetapi sekarang ia sudah berbeza dan pertanian telah menjadi antara sektor yang popular dalam kalangan masyarakat," katanya selepas melancarkan penjenamaan semula produk kosmetik Nubhan, Juwita Divine di MAEPS hari ini.

Pemilik produk kosmetik Ahmad Nubhan Ahamad berkata penjenamaan semula produknya iaitu Juwita Divine itu tampil dengan penambah baik kualiti produk dan formula serta reka bentuk pembungkusan yang lebih menarik.

"Menerusi pencapaian jualan pada tahun pertama bermula April 2015 hingga April tahun ini, kami berjaya meraih sehingga RM1.3 juta. Untuk tahun hadapan saya sasarkan ia meningkat dua kali ganda dengan peningkatan 1,000 stokis dan agen produk ini," katanya.

Beliau berkata produk yang dirumus dengan ekstrak rumpai laut, biji anggur dan limau serta vitamin C itu diharapkan boleh digunakan secara efektif oleh masyarakat dengan tawaran harga mampu milik. - BERNAMA