Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh wartawan SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN dan jurugambar ZAINI HUSIN.

 

5.35 petang: 

Perbicaraan hari ke lapan melibatkan Najib melabuhkan tirainya dan akan disambung esok pada pukul 9 pagi.

Malah, Ahli Parlimen Pekan itu dilihat meninggalkan pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 5.35 petang.

 

4.48 petang:

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Arif Kamil mengarahkan hampir RM500,000 daripada wang RM3.3 juta dalam akaun Ambank Najib dipindah dan dikreditkan ke kad kredit Visa Platinum dan selebihnya iaitu sebanyak RM2.8 juta dikreditkan ke kad kredit Master Card Platinum.

 

4.15 petang:

Sebanyak RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Ambank milik Najib pada tahun 2014 dan 2015 dengan RM37 juta dimasukkan oleh syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

 

3.32 petang:

Saksi juga sahkan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai lima akaun Ambank dengan satu adalah simpanan manakala empat lagi adalah semasa.

Kesemua akaun berkenaan dibuka pada tahun 2011 dan 2013. Bagaimanapun, semua akaun berkenaan telah ditutup.

3.24 petang:

Saksi berkata, berdasarkan penyata akaun bertarikh 23 Julai 2014 hingga 16 Ogos 2015, terdapat tiga kemasukan wang daripada akaun syarikat SRC International Sdn. Bhd. kepada syarikat Gandingan Mentari melibatkan jumlah RM50 juta pada 24 Disember 2014 serta 5 dan 6 Februari 2015.

Kesemua wang berkenaan kemudiannya dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd. pada hari sama ia dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari.

Semua kemasukan dan perpindahan wang dilakukan atas surat arahan yang dikeluarkan oleh syarikat masing-masing kepada Ambank cawangan Raja Chulan.

3.08 petang:

Perbicaraan bersambung dengan mendengar keterangan Uma Devi. Saksi dalam keterangannya turut mengesahkan syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd. mempunyai satu akaun semasa di Ambank cawangan Raja Chulan.

Syarikat telah menamakan dua individu sebagai penandatangan yang dibenarkan.

1.21 petang:

Perbicaaran kes Datuk Seri Najib berhenti rehat dan akan disambung semula pada pukul 2.30 petang.

Terdahulu, Uma Devi memaklumkan terdapat kemasukan wang berjumlah RM2 bilion ke dalam akaun 2112022009736 milik SRC International Sdn. Bhd. pada 29 Ogos 2011.

Pada 28 Mac 2012, sebanyak RM2 bilion didepositkan ke dalam akaun 2112022010650 syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-21, R. Uma Devi (kiri) dan saksi pendakwaan ke-20, Rosaiyah Mohd. Rosli (kanan)SAKSI pendakwaan ke-21, R. Uma Devi (kiri) dan saksi pendakwaan ke-20, Rosaiyah Mohd. Rosli (kanan)  ketika keluar selepas mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari. - UTUSAN ONLINE /ZAINI HUSIN

 

12.38 tengah hari:

Saksi pendakwaan ke-21, Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R. Umadevi mengesahkan syarikat SRC International Sdn. Bhd. mempunyai dua akaun semasa di bank tersebut.

Bagi akaun pertama, syarikat pelaburan itu telah membuat permohonan untuk membuka akaun pada 10 November 2011 dengan menamakan lima individu sebagai penandatangan yang dibenarkan.

Akaun semasa islamik ini telah ditutup pada 17 Mei 2016.

Bagi akaun kedua pula, SRC International membuat permohonan untuk membuka akaun pada 18 Januari 2011.

Syarikat telah menamakan empat individu sebagai penandatangan yang dibenarkan.

 

10.40 pagi:

Perbicaraan berhenti untuk 10 minit bagi membolehkan pihak pembelaan menyusun dokumen dan soalan sebelum memulakan sesi soal balas.

 

10.01 pagi:

Perbicaraan diteruskan dengan saksi ke-19 iaitu Timbalan Pengurus Besar, Jabatan Penjelasan Cek Bank CIMB, N. Edward.

 

9.58 pagi:

Saksi pendakwaan ke-18, Ashraf Abdul Razak memberitahu firma guaman, Tetuan Zulkarnain & Co pernah menerima cek bernilai RM2.5 juta sewaktu berkhidmat untuk seorang tokoh korporat, Habibul Rahman Kadir Shah.

Beliau yang juga seorang peguam memberitahu cek tersebut adalah bayaran berkaitan dengan kontrak pertahanan.

Wang dari cek tersebut kemudiannya digunakan untuk beberapa pembayaran termasuk akaun isteri dan anak-anak tokoh korporat itu.

 

9.29 pagi:

najib

Perbicaraan kes Najib bermula. Pihak pendakwaan memanggil saksi ke-18 iaitu peguam Ashraf Abdul Razak.

 

9.07 pagi:

Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.50 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kesnya yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga mempunyai sebutan kes di Mahkamah Tinggi berlainan berhuhung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Najib Rosmah