Majlis itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar di Stadium Hoki Batu Burok di sini malam ini.

Menerusi penyertaan kali pertama Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) musim ini, Terengganu membawa masuk lapan pemain skuad Malaysia Tigress bagi memperkuatkan lagi pasukan.

Bakinya pula merupakan bakat muda dari skuad pembangunan hoki kebangsaan.

Ketua Jurulatih, Mohd. Asri Abdul Aziz melahirkan keyakinan skuad kendaliannya mampu merealisasikan harapan untuk meraih dua piala iaitu Piala Liga dan Piala Vivian May Soars menerusi penampilan aksi pertama itu.

"Sehubungan itu, kami akan memperkemaskan pukulan sudut penalti sebelum sesi pembuka tirai bertemu Kelab Hoki Kulim (Kulim) lusa.

"Saya tidak bimbang dengan tahap kecergasan pemain selepas melihat kemenangan mereka sebagai naib juara pusingan kedua Kejohanan Liga Hoki Wanita Dunia minggu lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan TLHT menentang veteran Terengganu.

Terdahulu 22 pemain menandatangani kontrak selama tiga bulan bersama pasukan TLHT dengan disaksikan oleh Presiden Hoki Terengganu, Datuk Wan Mohd. Nizam Wan Abdul Hamid.-UTUSAN ONLINE