Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana, ada negeri termasuk Pulau Pinang mempunyai garis panduan tersendiri bagi pembangunan di kawasan seumpama itu.

Menurutnya, kementerian sudah pun mengeluarkan satu buku panduan iaitu Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi pada 2009 dan ia sudah pun diedarkan kepada semua negeri.

"Tetapi ada negeri apabila dapat buku tersebut mereka ambil tetapi mereka ubah suai ikut keadaan geografi negeri masing-masing dan mereka keluarkan garis panduan sendiri yang didakwa lebih baik daripada yang kita beri.

"Seperti Pulau Pinang, mereka tak ikut garis panduan kita, mereka ada buku panduan sendiri Safety Guideline for Hillside Development 2012.

"Jadi kalau nak hentikan projek ke apa, ia adalah kuasa kerajaan negeri, kementerian hanya ada kuasa untuk nasihat...buat dasar, buat pekeliling semua kita buat tapi pelaksanaannya adalah kerajaan negeri," katanya mengulas mengenai suara pelbagai pihak yang mahu projek pembangunan di lereng bukit di Pulau Pinang dihentikan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Habitat Sedunia dan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Negeri Johor di Puteri Harbour di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday. - UTUSAN ONLINE