Menjelaskan keadaan sebenar, kata Shahrul sebab utama penundaan konsert tersebut adalah disebabkan permintaan peminat kumpulan ini sendiri yang mahu tarikh konsert diubah. 

Katanya tarikh 24 Disember lalu terlalu padat dengan percutian perayaan dan sekolah sekali gus menyebabkan ramai peminat yang tidak dapat menghadiri konsert tersebut. 

“Ini kali pertama saya dengar kononnya penundaan konsert ini disebabkan Joe. Sebagai penganjur apa yang boleh saya kongsi, penundaan konsert ini adalah kerana permintaan beberapa pihak di sana.

“Jadi kami ambil langkah tepat untuk menundakannya. Tidak ada kena mengena dengan Joe seperti khabar angin sebelum ini,”katanya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan itu, Awie Wings ketika diminta Utusan Online untuk mengulas mengenai perkara ini memilih tidak memberi sebarang kenyataan lanjut.

Menurut Shahrul lagi, jika benar ada masalah yang berlaku di kalangan ahli kumpulan rock itu, dia tidak melihat akan memberi kesan kepada perancangannya. 

Tambahnya lagi konsert akan tetap di langsungkan menurut jadual yang sudah dipersetujui mereka.

“Sebenarnya kami akan mengadakan sidang akhbar dalam bulan ini untuk mengumumkan tarikh baharu untuk konsert tersebut. Jadi jangan risau konsert akan diteruskan seperti biasa.

“Malah saya juga baru sahaja bercakap dengan Awie, dia juga tidak memberi tanda yang mereka dalam masalah,” katanya. - UTUSAN ONLINE