Perdana Menteri berkata, komitmen itu bukan hanya diluahkan menerusi ucapan tetapi dari segi bentuk pelaksanaannya.

''Semua orang sebut pendidikan mesti diutamakan tetapi sejauh mana kita dapat menterjemahkannya dalam bentuk komitmen.

''Komitmen itu bukan di peringkat kerajaan semata-mata tetapi komitmen diri kita sama ada sebagai seorang pelajar, guru, ibu bapa atau sebagai seorang yang mampu memberikan sumbangan.

''Penterjemahan mengikut kemampuan masing-masing yang seharusnya diutamakan jika kita hendak berjaya sebagai sebuah negara dan bangsa,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) serta bantuan 'Kembali Ke Sekolah' Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Ins­titut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Mohamad Madani Sahari; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Abdul Karim Mustafa dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof.

Pada majlis tersebut, seramai 147 murid dan pelajar cemerlang menerima hadiah masing-masing.

Majlis itu merupakan anjuran bersama The Asia Foundation, UM, Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan, Yayasan Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah, MAI dan YPM.  -UTUSAN ONLINE