Pada tahun ini, mereka yang bertuah menjalani kursus kewartawanan berprestij itu ialah Produser yang juga Pembaca Berita Astro Awani, Dzulfrizal Zulkapli dan Ketua Pemberita Meja Pendidikan akhbar The Star, Christina Chin Swee Gaik. Turut terpilih ialah Naib Presiden Unit Komunikasi dan Perhubungan Luar Khazanah Nasional, Yeow Pooi Ling.

Di bawah program itu, ketiga-tiganya akan menjalani kehidupan sebagai felo di Kolej Wolfson, Universiti Cambridge, selama 10 minggu atau satu penggal akademik.  

Sejak diperkenalkan pada 1982, lebih 300 wartawan dari 50 negara sudah mengikuti kursus tersebut dan menjadi felo media di universiti berkenaan.

Sehingga kini, sebanyak 40 wartawan dan pengamal komunikasi tempatan telah mendapat manfaat daripada program berkenaan, dengan rata-rata mereka kini mengetuai pelbagai organisasi media di dalam negara.

Khazanah-Wolfson2
PENGARAH URUSAN Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar bergambar bersama-sama wartawan yang terpilih mengikuti program Wolfson Press Fellowship 2018 di Universiti Cambridge, dan alumni program tersebut di Menara KLCC, hari ini.

Program fellowship ini memberi peluang kepada wartawan untuk 'berehat seketika' daripada kesibukan tugas hakiki seharian dengan menjalankan penyelidikan berkaitan media dalam bidang yang diminati mereka, di bawah seliaan tenaga akademik di Kolej Wolfson.

Menariknya, program ini turut memberikan pengalaman yang bermakna sebagai penghuni kampus universiti terkemuka dunia itu kepada wartawan Malaysia yang terpilih menyertainya. Pendek kata, bukan sekadar pengetahuan baharu yang diperoleh menerusi seminar-seminar rasmi yang dihadiri bahkan mereka juga mendapat manfaat daripada interaksi dengan pelajar dan ahli akademik dari serata dunia.

Dalam tempoh 10 minggu itu, mereka didedahkan kepada isu-isu yang pelbagai termasuk perubahan iklim, ekologi media dan ombudsmen, akhbar di England, media dan internet, kewartawanan global, teknologi baharu melaporkan berita dan bagaimana membuat laporan ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar dalam ucapannya berkata, objektif pihaknya menaja anggota media Malaysia mengikuti program fellowship ialah bagi menyokong industri kewartawanan tempatan dalam membangunkan anggota media yang serba boleh, yang mampu menyumbang ke arah pembinaan negara secara bermakna menerusi penulisan mereka. 

Sejak 2013, Khazanah telah menaja dua wartawan dan seorang kakitangan Khazanah atau syarikat berkaitan mengikuti program itu setiap tahun. Sehingga kini, sebanyak 10 wartawan tempatan arus perdana telah menyertai program itu iaitu dari  Utusan Malaysia, The Star, The New Straits Times, Berita Harian, The Edge, Astro Awani dan radio BFM. Di samping itu, tiga kakitangan Khazanah dan seorang kakitangan TM turut berpeluang mengikuti program tersebut.

Rata-rata mereka yang telah menyertai program berkenaan menganggapnya sebagai pengalaman sekali seumur hidup yang tidak akan dilupakan, kerana benar-benar memberi manfaat secara peribadi dan profesional.- UTUSAN ONLINE