Dalam operasi dijalankan pukul 11 pagi bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), seorang lelaki berusia 58 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan, ditahan di sebuah premis perniagaan di kawasan perumahan dekat Lawan Kuda Baru di Gopeng.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, siasatan awal mendapati, keropok mentah berkenaan dibawa masuk dari Indonesia dan digoreng di kawasan perumahan tersebut sebelum dibungkus untuk dipasarkan di kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang laluan Tapah hingga Tanjung Malim.

“Berdasarkan keterangan lelaki berkenaan, syarikat yang diusahakan secara perniagaan keluarga itu telah beroperasi lebih kurang dua tahun dan tidak pernah membuat permohonan sijil halal ke atas keropok udang tersebut.

“Namun, plastik pembungkusannya mempunyai perkataan halal menggunakan tulisan jawi dan rumi yang dibuat sendiri dan tidak menggunakan logo halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shamsul Nizam berkata, beliau telah mengarahkan pegawai penguat kuasanya untuk melakukan pemeriksaan terhadap keropok udang tersebut di seluruh negeri ini bermula dari Tanjung Malim sehingga ke Parit Buntar.

Tegas beliau, KPDNKK memandang serius terhadap kesalahan penggunaan perakuan dan penandaan logo halal yang melanggar Akta Perihal Dagangan 2011. - UTUSAN ONLINE