Anugerah tersebut disampaikan dalam majlis berprestij di London pada 20 November lalu. Antara pesaing bagi anugerah ini adalah syarikat multinasional global seperti Royal Dutch Shell Plc., Kumpulan Perbankan Lyoyds, Roll-Royce, BAE System dan Fujitsu.

Ketua Pegawai Eksekutif PADU, Khadijah Abdullah menjadi wakil untuk menerima anugerah tersebut. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian yang juga Pengerusi PADU, Datuk Seri Alias Ahmad.

"Kementerian Pendidikan ingin menyatakan rasa bangga kerana menerima anugerah ini. Pelan Pendidikan ini adalah dokumen kebangsaan yang telah diiktiraf oleh badan terkenal dunia seperti UNESCO, OECD dan telah digunakan sebagai rujukan oleh banyak negara.

"Anugerah daripada APM adalah bukti bahawa pelaksanaan Pelan Pendidikan kami berada di landasan yang betul. Kami berterima kasih atas sokongan berterusan dari Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang telah menyumbang kepada penghargaan anugerah ini," kata Alias.

PADU sebagai agensi yang ditubuhkan bagi menyokong Kementerian dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) diiktiraf atas kesan transformasi Pelan Pendidikan ke atas sistem pendidikan nasional Malaysia.

Pemilihan PADU sebagai pemenang kerana pengiktirafan yang diberikan untuk visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan perubahan transformasi dalam pendidikan seterusnya memberi kesan positif yang berpanjangan demi kepentingan masyarakat. - UTUSAN ONLINE