Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Fadzil Hashim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu selepas guru sekolah membawa mangsa yang membuat laporan di IPD Pendang kira- kira pukul 1 petang tadi.

“Pihak sekolah simpati dengan mangsa apabila ditanya kanak-kanak itu memberitahu dia dipukul bapanya sejak beberapa hari lalu dan kita syaki mangsa didera” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah ( HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang juga OKU kategori masalah pembelajaran kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Fadzil memberitahu, ekoran kejadian itu, pihaknya menahan bapa mangsa berusia 30-an kira-kira pukul 4.30 petang tadi untuk membantu siasatan.

“Kita juga akan soal siasat ibu mangsa dan beberapa individu terdekat untuk mengenalpasti motif kejadian, “ katanya.

Beliau berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE