Noor
Gambar kenangan Noor Atikah Ishak (kiri) bersama suami Abi Suffian dan anak mereka, Noor Atifah sewaktu kanak-kanak itu masih bayi.-UTUSAN ONLINE

Noor Atifah menghebuskan nafas terakhir kira-kira jam 7 pagi ini selepas tiga hari menerima rawatan di hospital itu.

Ibu saudara mangsa, Farizatul Shuhadah Ishak, 23, ketika memaklumkan perkara tersebut di Facebooknya memaklumkan Allah lebih sayangkan Noor Atifah.

"Allah lebih sayangkan dia (Noor Atifah). (Siapa) sudah tahu tolong sampaikan kepada yang mengenali kami sekeluarga. Terima kasih atas doa kalian semua. Al-Fatihah untuk anak syurga (ini)," katanya.

Farizatul turut memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Noor Atifah yang terpaksa bertarung nyawa melawan kesakitan dialaminya.

"Mak ngah tahu Ifa dah penat dan tak kuat lawan sakit...pergilah sayang...pergilah berehat selamanya. Terima kasih Ifa tunggu mak ngah datang semalam (di Hospital Sungai Buloh)," katanya.

Farizatul juga memberitahu, dia sendiri tidak setabah Noor Atifah untuk melalui semua dugaan tersebut.

"Mak Ngah reda sayang dan nak beritahu yang mak ngah terlalu sayangkan Ifa. Terima kasih Allah pinjamkan Ifa selama lebih dua tahun buat kami sekeluarga dan dia dijemput Ilahi buat selamanya," katanya.

Dalam kejadian pada Khamis pada lalu,  Noor Atifah melecur seluruh badan akibat disambar api setelah ibunya, Noor Atikah Ishak, 25, cuba menghidupkan api menggunakan petrol bagi menyediakan juadah ikan bakar.

Turut melecur dalam kejadian tersebut ialah Noor Atikah dan adiknya, Shahrul Nizam Ishak, 20, ketika mereka berusaha menyelamatkan kanak-kanak malang itu.-UTUSAN ONLINE