Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dalam melaksanakan peranan itu, penekanan diberikan dari segi komunikasi strategik yang lebih tertumpu kepada rangkaian media sosial.

Beliau memberitahu, pendekatan sedemikian penting agar para petugas terlibat dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan bagi memastikan rakyat menerima maklumat tepat sekali gus membantu kerajaan menangkis berita palsu atau berunsur fitnah.

"Sebenarnya ada dua perkara iaitu kandungan dan juga sebaran (viral) dan kita akan pastikan kedua-duanya mempunyai maklumat tepat untuk sampai meluas  ke peringkat akar umbi.

"Dua perkara ini menjadi keutamaan dalam komunikasi strategik Jasa dan kita telah lakukan penyelidikan di kebanyakan kawasan Parlimen yang menjadi tumpuan," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Mesra Aidilfitri Jasa Negeri Terengganu di Dewan Ehsan Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepoh, Kuala Nerus dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Mohd. Puad berkata, pada masa sama, semua pegawai Jasa diwajibkan berperanan sebagai `key comunicator' yang turut bertanggungjawab sebagai jentera utama dalam menularkan segala maklumat yang dihantar ke akaun mereka.

"Mereka ini cukup terlatih dan tahu peranan serta tugas masing-masing sama ada menggunakan Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram bagi menghadapi PRU-14 nanti," ujarnya.-UTUSAN ONLINE