Ini bermakna lagu popular tersebut juga tidak akan berpeluang untuk dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu ke-31 yang akan berlangsung pada awal 2017 meskipun dikatakan potensinya amat besar untuk menyahut cabaran ke pertandingan tersebut.

Komposer karya berkenaan, Ayai Ilusi memberitahu, keputusan tersebut dibuat oleh Edry Abdul Halim daripada syarikat DD Music yang menerbit lagu tersebut semalam.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan persaingan tetapi Edry tetap dengan pendiriannya menarik diri. Jadi saya akur," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi.

Kontroversi mengenai lagu popular itu tercetus apabila  Ayai membuat pendedahan mendakwa dirinya adalah pemilik asal kepada lagu itu.

Pendedahan Ayai itu mengejutkan sekali memandangkan melodi dan ciptaan asal Hidup Dalam Mati sebelum ini dianggap oleh peminat sebagai milik Syamel yang turut menulis lirik lagu berkenaan.

Ekoran masalah berkaitan hak ciptaan itu,  Utusan Online difahamkan lagu tersebut berhadapan dengan masalah untuk dipertandingkan dalam majlis pertandingan anugerah yang ada, termasuk Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun ini.

Sementara itu, Syamel sebelum ini juga ada memuat naik gambar dengan kapsyen yang telah mengundang pelbagai spekulasi dan respon daripada peminat.

"Terima kasih. Saya sayang anda semua dan saya minta maaf," kata Syamel menerusi status terbaharunya dalam Instagram yang ditafsirkan ada kaitan dengan perkembangan mengecewakan ini.

Senarai 12 karya yang mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-31 (AJL31):

01. Lelaki Teragung
02. Terakhir
03. Sudah Ku Tahu
04. Selamanya Cinta
05. Terimaku Seadanya
06. Ku Rela Dibenci
07. Di Amaran Mama
08. Obses
09. Setia
10. Kalah Dalam Menang
11. Hang Pi Mana
12. Anugerah Terindah-UTUSAN ONLINE.