Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima banyak aduan pokok tumbang termasuk berhampiran Full Gospel Assembly, Taman Goodwood pada pukul 5.21 petang.

“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati pokok tumbang dan menghempap lapan buat kereta yang terdiri daripada Proton Saga, Waja, Mini Cooper, Honda Ferio, Hyundai Atos, Perodua Alza, Kenari dan Bezza.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan Seputeh telah mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengalihkan pokok yang tumbang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Khirudin berkata, pihaknya turut menerima laporan pokok tumbang menghempap rumah di Jalan 30 dan Jalan 31, Salak Selatan Baru.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor pula memberitahu, pihaknya menerima enam laporan pokok tumbang pada petang tadi termasuk di kawasan Kuchai Lama. - UTUSAN ONLINE