Aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Play Store itu kini sedang menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan iaitu sehingga 31 Mac ini di sepanjang Jalan Seruling sahaja.

Lebih menarik sepanjang tempoh itu, orang ramai diberi insentif sebanyak RM50 secara percuma untuk kegunaan meletak kenderaan yang akan dimasukkan dalam sistem yang dimuat turun.

Jumlah itu walau bagaimanapun dimasukkan secara berperingkat-peringkat iaitu sebanyak RM5 sehingga habis amaun tersebut.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Thenar Technology Sdn. Bhd., Khairul Hisham Hassan, penggunaan aplikasi hasil ciptaan oleh anak tempatan itu adalah kali pertama digunakan di negeri ini.

Katanya, ia menawarkan pilihan kepada orang ramai membuat pembayaran tempat meletak kenderaan secara dalam talian di samping masih boleh menggunakan sistem kupon sedia ada.

“Kita jangka penggunaan aplikasi ini akan mendapat sambutan seperti mana peningkatan pelbagai urusan masyarakat masa kini dalam sektor perbankan dan pembelian produk secara dalam talian.

“Aplikasi Padiyo yang menjalin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) membolehkan kita membuat pembayaran tempat meletak kenderaan dan menambah nilai hanya menerusi telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau memberitahu, sekiranya pihak MPK berminat dengan penggunaan aplikasi tersebut, sistem itu akan diperluaskan ke seluruh negeri ini pada masa depan.

“Hasil kajian yang kita jalankan, pihak MPK mampu meningkatkan pendapatan hasil kutipan tempat meletak kenderaan sehingga 50 peratus menerusi peningkatan penguatkuasaan, kecekapan pengutipan dan pembayaran yang lebih mesra pengguna,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE