Beliau berkata, dakwaan Mahathir bahawa projek tersebut merupakan satu lagi penjualan tanah kepada orang asing adalah tidak benar sama sekali.

“Apa yang dibangkitkan Tun Dr. Mahathir hanya melibatkan (kawasan Forest City) 0.01 peratus di Johor. Kenapa beliau terlalu memberikan perhatian terhadap 0.01 peratus.

“Jadi jangan terpengaruh dengan apa yang beliau cakapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Sekolah Agama Bandar Seri Alam 2, di sini sebentar tadi.

Mahathir semasa berucap dalam mesyuarat agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Shah Alam, Selangor kelmarin, mendakwa berlaku penjualan tanah kepada orang asing dan hasilnya digunakan untuk membayar hutang.

“Habislah tanah kita akan dijual, tidak kiralah Forest City, saya harap Forest City akan betul-betul jadi forest (hutan)…penduduknya akan terdiri daripada kera, monyet dan sebagainya,” ujar bekas Perdana Menteri itu kepada perwakilan PPBM dalam mesyuarat tersebut.

Ini bukan kali pertama Mahathir mengkritik projek bandar pintar AS$100 bilion itu yang dibina atas empat pulau buatan dengan keluasan 1,385.6 hektar iaitu bandar futuristik yang dijangka siap dalam tempoh 20 tahun dan boleh menempatkan kira-kira 700,000 orang.

Forest City yang menyaksikan ribuan unit pangsapuri terjual sejak pembinaan dimulakan dua tahun lalu menjadi isu apabila pembeli berpotensi dari China berpusu-pusu ke Iskandar Malaysia itu dan Mahathir memberi amaran pembangunan itu seperti enklaf warga asing.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan tidak senang dengan penentangan Mahathir terhadap projek itu dan bertitah projek berkenaan meningkatkan nilai hartanah di Johor dan akan memberi hasil lumayan kepada kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE