Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman ke atas R. Ravi, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal menyangkal andaian pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Mohd. Sofian berkata, keterangan pihak pembelaan termasuk tertuduh semasa prosiding membela diri bersifat penafian semata-mata.

Katanya, keterangan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui kehadiran beg kertas berwarna putih yang disyaki berisi dadah itu tidak selari dengan keterangan saksi pendakwaan iaitu anggota polis trafik yang bertindak menahan lelaki bujang itu ketika kejadian kerana dilihat melakukan kesalahan trafik.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ravi yang bekerja di Singapura didakwa mengedar dadah berbahaya di Jalan Tebrau menghala Johor Bahru pada 27 Januari 2016, kira-kira pukul 7.10 malam

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini yang mengemukakan empat saksi sepanjang prosiding perbicaraan, manakala tertuduh diwakili peguam R. Subash. - UTUSAN ONLINE