Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, pelbagai program kecergasan akan dianjurkan diperingkat kementerian tersebut bagi memastikan warganya sentiasa aktif dan sihat.

"Saya amat menggalakkan warga kementerian ini bergiat aktif dalam aktiviti fizikal supaya hidup kita lebih sihat dan seterusnya akan menyumbang kepada minda yang cerdas.

"Kita mesti menjadi contoh teladan yang baik kepada semua pihak di mana kita perlu menjadikan aktiviti kecergasan sebagai aktiviti utama agar kekal sihat," katanya di sini hari ini.

Beliau bersama 420 warga kementerian itu menyertai aktiviti ekspedisi Taman Negeri Pulau Pinang sempena program Jom Cergas Warga Jabatan Kesihatan negeri.

Menurut Chaw Min, beliau percaya warga Kementerian Kesihatan yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat akan mampu meningkatkan produktiviti di kementerian berkenaan.

"Selepas ini pelbagai program kecergasan akan dianjurkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk rakyat mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Jom Cergas yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan negeri merupakan sebahagian daripada aktiviti kecergasan yang dianjurkan bagi menggalakkan semua warga kementerian tersebut kekal sihat.

"Penglibatan warga kementerian ini dari pelbagai lapisan jawatan dalam aktiviti seperti ini juga dapat membentuk jalinan komunikasi yang mesra dan mengeratkan hubungan dalam kalangan kakitangan," katanya. - UTUSAN ONLINE